Kota Samarahan, 18 November - Persatuan Pencinta Ilmu Dan Budi Kuching (PPIBK) telah dijemput untuk memberikan pengisian bagi program Kem Kesejahteraan Dan Keselamatan Diri (BESTARI) anjuran JK Pengurusan Masjid Ar-Riyadh Taman Samarindah, Kota Samarahan.
Seramai 14 orang peserta muslimah telah menyertai kem tersebut yang berlangsung selama sehari.
Kem BESTARI ini bertujuan untuk memberikan kefahaman tentang hakikat diri sebagai seorang wanita dari perspektif Islam serta tanggungjawab memelihara maruah dan kehormatan diri. Para peserta didedahkan dengan isu-isu sosial semasa agar lebih ketara sedar dalam mendepani dunia yang mencabar. Selain itu juga, peserta telah melalui pelbagai aktiviti menarik yang mengajak peserta berfikir selaras dengan objektif program untuk memperkukuhkan jati diri remaja muslimah dengan amalan kerohanian, budaya cintakan Ilmu, mencontohi Rasulullah SAW, serta mengeratkan persaudaraan dalam kalangan para peserta kem.
Semoga kem ini memberi manfaat kepada para peserta dan menjadi titik permulaan untuk para remaja muslimah ini mendapat bimbingan dan panduan secara berterusan agar mereka mempunyai prinsip hidup yang berakar umbikan pandangan alam Islam (worldview) yang benar.