+6019-821 2606 setiausaha@ilmubudi.org
Jumaat, 07 Shawwāl 1447 / 27 Mar 2026
Waqtu Ṣalāt
Tutup
Zon Waqtu Ṣalāt
Sumber Waqtu Ṣalāt: JAKIM

PPIBK ANJURKAN WACANA BUKU SULUH KEMAJUAN, KARYA WARIS ULAMA SARAWAK

PPIBK ANJURKAN WACANA BUKU SULUH KEMAJUAN, KARYA WARIS ULAMA SARAWAK
Tarikh: 2025-11-25 | Oleh: Shamsiah Mahli

Pada 22 November yang lalu, Persatuan Pencinta Ilmu dan Budi Kuching (PPIBK) telah menganjurkan Wacana Ilmu: Kupasan Buku Suluh Kemajuan bertempat di Bilik Seminar, Pustaka Negeri Sarawak. Program yang berlangsung selama tiga jam ini telah disertai oleh seramai 30 orang yang terdiri daripada pelbagai latar belakang dan agensi.

Wacana ini dimulakan dengan ucaptama yang telah disampaikan oleh Sahibul Fadhilah Ustaz Haji Ahmad Sukarno bin Haji Saini, Pengarah Jabatan Mufti Sarawak. Beliau menyatakan bahawa wacana yang mengupas karya peninggalan ilmuwan amat wajar dilaksanakan kerana masyarakat hari ini amat merindui panduan ulama dan warisan keilmuan yang sahih.

Wacana diteruskan dengan sesi kupasan buku Suluh Kemajuan bersama panel jemputan iaitu Encik Muhammad Syukri bin Rosli, Pengerusi Akademi Jawi Malaysia. Kupasan beliau menarik perhatian peserta apabila beliau mengaitkan tradisi pencetakan dan penerbitan kitab dalam bahasa Jawi di alam Melayu telah bermula dengan usaha Shaykh Wan Ahmad Fatani (1856-1908). Jika tiada usaha sebegini, barangkali tradisi keilmuan dalam bahasa Jawi tidak akan sampai ke tangan generasi hari ini. Mengenai buku Suluh Kemajuan, beliau menjelaskan bahawa salah satu pengenalan atau taqriz terhadap buku ini adalah ditulis oleh Syakh Abdullah Fahim yang merupakan salah seorang ulama yang berperanan penting dalam usaha memerdekan Tanah Melayu, yang juga merupakan anak murid kepada Shaykh 'Uthman Sarawak.

Pengarah Pusat Kajian Akidah, Agama dan Keharmonian Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Yang Berbahagia Dr. Mohd Farid bin Mohd Shahran pula menjelaskan bahawa dalam tradisi ulama silam, penulisan mereka sarat dengan peringatan dan nasihat yang menekankan aspek pengukuhan jiwa untuk membina jati diri Muslim sebenar. Karya Suluh Kemajuan ini mengandungi nasihat penting agar masyarakat dapat menyediakan diri untuk maju ke hadapan serta membangkitkan semangat untuk memajukan bangsa dan memerdekakan negara. Dalam konteks hari ini, Dr. Mohd. Farid menjelaskan bahawa karya seperti Suluh Kemajuan ini masih boleh dijadikan pedoman kerana umat Islām pada hakikatnya masih lagi terbelenggu dan belum sebenarnya merdeka dalam banyak aspek.

Diharapkan wacana ini mencapai maksud dan tujuannya, iaitu memperkenalkan Buku Suluh Kemajuan yang ditulis oleh waris ulama Sarawak, iaitu Tuan Haji Abdul Karim bin Shaykh Uthman Sarawak serta memahami isi kandungan buku yang berupa nasihat-nasihat berguna dalam memajukan diri dan qawm muslimin.

Kembali ke Senarai Rencana
Hakmilik Persatuan Pencinta Ilmu dan Budi Kuching (PPIBK) © 2019-2026. | Direka dan dibangunkan oleh AMZ IT Solutions.